Keyakinan Diri - Siri 3 : Memahami Kekuatan

Keyakinan Diri - Siri 3 : Memahami Kekuatan


Dalam artikel lepas,saya telah menerangkan mengenai Petunjuk Tahap Keyakinan.Dalam artikel ini saya akan menerangkan bagaimana anda dapat memahami kekuatan anda.Sebelum menerangkan dengan lebih lanjut,saya akan menerangkan mengenai Viktor E.Frankl.

Viktor E.Frankl merupakan pengasas Logotherapy dan antara ahli terapi yang terhebat di abad ke-20.Beliau seorang Yahudi dan berasal dari Austria.Apabila Tentera Nazi telah menawan Austria,beliau antara orang Yahudi yang terselama daripada Peristiwa Hollacaust-pembunuhan orang Yahudi beramai-ramai oleh Hitler.

Beliau terselamat kerana kepakaran beliau dalam bidang neuro dan psikologi.Kepakaran beliau dalam bidang psikoterapi telah digunakan di 4 Kem Maut Nazi iaitu untuk merawat tekanan perasaan yang dialami oleh banduan baru.

Teori beliau yang paling diterima ialah apa jua keadaan manusia,makna yang diberikan oleh seseorang terhadap sesuatu perkara yang menjadikan manusia untuk terus bertindak.Teori ini yang membantu beliau terselamat daripada di bunuh oleh Tentera Nazi.

Secara mudahnya,teori beliau menjelaskan kenapa anda melakukan apa yang anda lakukan sekarang.
Contohnya,semua orang inginkan wang.Makna yang anda berikan kepada wang yang mendorong anda untuk mendapatkan wang.Contohnya anda ingin mendapatkan wang kerana ingin menyara keluarga anda,makna yang anda berikan pada wang ialah keluarga yang gembira.Saya harap anda faham apa yang saya cuba sampaikan.

Dalam kem maut tersebut,Frankl menyaksikan sendiri banduan-banduan yang mempunyai harapan untuk keluar dengan selamat daripada kem itu mempunyai peluang hidup yang lebih tinggi berbanding dengan banduan yang sudah berputus asa.

Apabila Frankl merawat banduan yang sudah berputus asa,beliau akan merawat pesakitnya dengan 3 langkah berikut:

  1. Membuatkan pesakit beliau menghargai kehidupan.Beliau akan mengimbas kembali pencapaian,kejayaan, dan apa-apa yang membanggakan yang pernah dilakukan oleh pesakit beliau.

  2. Membantu pesakit beliau melihat kehidupan mereka dalam skala yang luas.Beliau membuatkan pesakit beliau untuk menggambarkan kehidupan mereka sekiranya mereka terselamat daripada kem maut itu.

  3. Mencari makna yang membawa kesan positif dalam kehidupan pesakit beliau.Contohnya,di dalam kem maut ini,kehidupan tidak membawa apa-apa erti yang bermakna.Beliau akan membantu pesakit beliau mencari makna kehidupan yang memberi kesan positif.


Anda boleh menilai keyakinan anda dengan menjawab soalan-soalan di bawah.Kemudian catatkan nota dalam diari anda dan lihat kembali pada 6 bulan yang akan datang hasil jawapan anda.Anda akan mengukur sejauh mana anda telah berubah.Anda perlu jujur dengan diri anda ketika menjawab soalan-soalan ini.

Anda juga perlu tahu bahawa tiada jawapan yang betul dan salah.Sekiranya anda menjawab dengan jujur,anda akan mengetahui tahap keyakinan anda.


Anda tahu dengan jelas perkara yang penting bagi anda.
Anda tahu apa yang anda mahu dalam hidup anda.
Anda tidak menghukum diri anda sekiranya berlaku kegagalan dalam hidup anda.
Anda boleh kekal tenang apabila berdepan dengan perkara yang emosional.
Apa yang anda lakukan pada setiap hari merupakan perkara yang mengembirakan anda.
Anda terlupa dengan masa yang berlalu ketika anda melakukan perkara yang anda suka.
Anda dikenali sebagai seorang yang optimis.
Anda menghormati diri anda dan orang disekeliling anda.
Anda realistik mengenai kekuatan dan kelemahan diri anda.
Anda tahu apa yang orang lain tahu mengenai kelebihan anda.
Anda berbincang dengan orang yang mahir dalam sesuatu perkara sebelum mengambil keputusan.
Anda sentiasa melihat sesuatu situasi dengan gambaran yang menyeluruh dan teliti.
Anda suka melakukan perkara yang baru kerana inginkan cabaran yang baru dalam hidup anda.
Anda sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran anda.
Anda menjaga kesihatan anda.
Anda mampu untuk menguruskan tekanan dalam hidup anda.
Anda mengambil risiko selepas anda mengambil kira ganjaran dan kerugian yang anda akan terima.
Anda tidak melakukan perkara yang remeh-temeh dengan sempurna.
Anda bermeditasi atau berfikir dengan mendalam mengenai hubung kait antara perkara-perkara yang berbeza yang berlaku dalam hidup anda.
Anda tahu apa yang anda mesti lakukan sekarang.Anda mempunyai impian dan mempunyai keazaman yang tinggi untuk menjadikannya realiti.
Kemudian berikan anda :
5 markah untuk setiap jawapan Sangat Bersetuju

4 markah untuk setiap jawapan Bersetuju

3 markah untuk setiap jawapan Neutral

2 markah untuk setiap jawapan Tidak Setuju

1 markah untuk setiap jawapan Sangat Tidak Setuju


Jumlah=
Nilaikan markah anda dengan kategori berikut:

80-100:

Tahniah!Anda seorang yang memiliki keyakinan yang tinggi.Anda tahu untuk memberikan keutamaan kepada perkara yang penting yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan kehidupan yang anda mahukan.


60-80:
Bagus!Anda mempunyai keyakinan dalam hampir semua situasi.Hanya beberapa sudut kehidupan anda yang perlu anda perbaiki.Anda akan menemui kaedah-kaedah yang dapat membantu anda di sepanjang artikel bersiri keyakinan diri ini.


40-60:
Anda berada di tempat yang betul.Anda mungkin mengalami beberapa kekeliruan dalam beberapa aspek kehidupan anda sekarang.Anda mungkin tertanya-tanya apa yang perlu anda lakukan sekarang.Luangkan masa untuk memperbaiki aspek-aspek yang memerlukan perhatian anda.


20-40:
Petunjuk yang jelas anda seorang yang jujur dan ingin berubah.Keyakinan anda mungkin rendah pada saat ini namun ianya hanya bersifat sementara.Anda akan mendapat panduan-panduan yang dapat membantu anda dalam artikel bersiri Keyakinan Diri.Sekiranya anda mengikuti panduan-panduan yang terdapat dalam artikel bersiri Keyakinan Diri ini,anda mampu untuk mengubah hidup anda.



Selepas anda menilai markah yang anda dapat,anda perlu melihat kembali pada aspek-aspek yang anda sangat tidak setuju.Kemudian fokus kepada aspek-aspek yang anda tidak setuju,neutral, dan setuju.Anda boleh menggunakan markah yang anda dapat untuk mengukur tahap keyakinan anda setiap bulan.

Kunci keyakinan yang dimiliki oleh orang yang memiliki keyakinan yang tinggi ialah tahap self-esteem yang tinggi.Mereka tahu cara untuk menyayangi diri mereka sendiri dan mereka menghargai kebolehan yang ada pada mereka.Ini membantu mereka untuk menghadapi situasi yang mencabar bagi mereka.

Kebolehan anda untuk mengambil tindakan yang efektif dalam hidup anda dipengaruhi oleh pelbagai perkara dalam hidup anda.Tahap keyakinan anda akan menurun sekiranya anda tidak menghargai kelebihan yang anda miliki.Apabila anda fokus kepada kelemahan yang terdapat pada diri anda,tahap keyakinan anda akan menjadi rendah.

Tahap keyakinan yang paling rendah akan terjadi sekiranya anda mementingkan kesempurnaan.Ianya akan memberhentikan anda untuk mengambil tindakan.Apa yang anda perlu lakukan ialah anda mengambil tindakan yang mesti anda lakukan dengan cara yang terbaik yang anda mampu.

Setakat ini dahulu artikel Keyakinan Diri - Siri 3 : Memahami Kekuatan.Saya akan menulis mengenai mengetahui bakat anda dalam artikel yang akan datang.Sekian terima kasih.