Neuro Linguistic Programming (NLP) Courses

neuro linguistic programming (NLP)

Kemungkinan besar anda membaca artikel ini kerana anda pernah mendengar atau membaca mengenai neuro linguistic programming (NLP) yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian anda seperti di pejabat, kolej, dan kedai makan.

Artikel ini ditulis kerana kegunaan NLP terbukti dapat digunakan untuk mengubah kehidupan kita sendiri. Artikel ini ditulis untuk menerangkan faedah menggunakan NLP serta cara menggunakannya. Sekarang, sudah tiba masanya untuk kaedah NLP berpindah dari dunia akademik dan perniagaan ke dalam hidup setiap orang.

Anda tidak perlu mengetahui tentang NLP terlebih dahulu, tetapi artikel ini adalah untuk anda sekiranya anda berada dalam mana-mana situasi berikut:

  • Anda sudah bosan dengan situasi hidup anda.
  • Anda ingin meningkatkan tahap pencapaian, kebahagiaan, cabaran, dan kejayaan anda.
  • Anda terdesak ingin membina hubungan dengan orang lain dengan cepat dan mudah.
  • Anda berminat untuk belajar dan menambah pengetahuan bagi meningkatkan kualiti kehidupan anda.
  • Anda ingin menjadikan impian anda menjadi realiti.

Apa itu NLP

Sejak kebelakangan ini dalam bidang perniagaan, NLP berkembang menjadi semakin popular. Sebahagian populariti adalah kerana teknik-teknik NLP menjelaskan sesuatu situasi dengan penjelasan yang rasional dan dapat digunakan oleh sesiapa sahaja.

Secara mudahnya, NLP bermaksud:

  1. Neuro : berkaitan dengan perkara yang berlaku dalam otak anda.
  2. Linguistic : merujuk kepada kata-kata yang anda gunakan dalam komunikasi dan body language anda serta bagaimana menggunakannya.
  3. Programming : mengubah corak tingkah laku yang anda pelajari dan mengulanginya secara berterusan.

Sesetengah orang menggambarkan NLP sebagai 'kajian tentang struktur pengalaman subjektif'. Ada juga pendapat yang menyebutnya 'seni dan sains komunikasi'.

Berdasarkan situasi kehidupan pada hari ini, NLP membolehkan anda memahami apa yang membuat anda melakukan sesuatu secara terperinci, bagaimana anda berfikir, bagaimana perasaan anda terhasil, dan bagaimana anda memahami kehidupan seharian di dunia di sekeliling anda.

Dengan pemahaman ini, seluruh hidup anda - kerja dan kehidupan - boleh diperbaharui.

Skop artikel ini seperti berikut:

  • Mengetahui perkara yang penting bagi anda untuk mencapai matlamat anda dengan sepenuh tenaga dan keyakinan.
  • Membuat jangkaan dengan NLP berkaitan sesuatu situasi hidup anda.
  • Cara terbaik untuk memahami orang lain dan membantu anda untuk menyampaikan mesej.
  • Cara hendak membina hubungan dan masa untuk memutuskan hubungan.
  • Menggunakan minda separa sedar anda untuk bekerja bersama dengan minda sedar.

Seorang lelaki dikejar oleh harimau yang lapar. Oleh kerana dalam situasi terdesak, lelaki itu bertanya sambil menangis, "'Kenapa awak tidak tinggalkan saya?". Harimau bertanya kembali, "Kenapa awak tidak berhenti menaikkan selera saya?"

Dalam sebarang komunikasi antara dua orang, atau dalam kes ini antara manusia dan binatang, lebih dari satu perspektif sentiasa wujud.

Kadang-kadang orang hanya tidak dapat memahami mesej kerana mereka tidak tahu mengubah teknik berkomunikasi dengan cara yang membantu mereka mendapat apa yang mereka mahu.

Neuro linguistic programming (NLP) adalah salah satu metodologi yang paling canggih dan berkesan yang boleh membantu anda berkomunikasi dengan berkesan. Skop NLP adalah mengenai komunikasi dan perubahan sikap.

Semua manusia dilahirkan dengan sistem saraf asas yang sama. Sistem saraf anda menghantar maklumat yang anda terima daripada persekitaran anda melalui deria anda ke otak anda.

Persekitaran anda dalam konteks ini ialah semua bahagian luaran anda dan juga termasuk organ anda seperti mata, telinga, kulit, perut, dan paru-paru. Otak anda memproses maklumat dan menghantar mesej kembali ke organ anda.

Dengan mata anda, contohnya, hasilnya mungkin anda berkedip. Maklumat ini juga boleh mencipta emosi, dan anda mungkin merasa gembira, menangis, atau ketawa.

Secara mudahnya, ini menentukan cara anda bertindakbalas dengan sesuatu situasi dengan cara tertentu.

Keupayaan anda untuk melakukan apa sahaja dalam kehidupan - sama ada berenang di dalam kolam, memasak makanan, atau membaca artikel ini - bergantung kepada bagaimana anda bertindak balas kepada rangsangan pada sistem saraf anda.

Oleh itu, teknik NLP dikhaskan untuk mengenalpasti bagaimana untuk berfikir dan berkomunikasi dengan lebih berkesan sama ada dengan diri anda sendiri atau orang lain.

NLP

Berikut bagaimana neuro linguistic programming dibahagikan:

Neuro:

Berkaitan dengan sistem saraf anda. Idea NLP bermula dengan pengalaman anda dalam dunia ini dikesan melalui deria anda dan menterjemahkan maklumat yang diterima oleh 5 deria anda dalam proses pemikiran minda sedar dan minda separa sedar.

Proses berfikir mengaktifkan sistem neurologi yang mempengaruhi fisiologi, emosi, dan tingkah laku.

Linguistic:

Merujuk kepada cara anda menggunakan bahasa untuk memahami dunia, mendapat dan mengkategorikan pengalaman serta dan menyampaikan pengalaman itu kepada orang lain.

Dalam NLP, linguistik adalah kajian bagaimana kata-kata yang anda gunakan untuk bercakap dan body language anda mempengaruhi pengalaman anda.

Programming:

Menumpukan kepada persepsi anda dan membincangkan bagaimana anda bertindak atau corak mental anda berkaitan dengan pengalaman anda. Programming peribadi anda terdiri daripada proses dan strategi dalaman anda (corak pemikiran) yang anda gunakan untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, belajar, menilai, dan mendapatkan keputusan.

NLP memperlihatkan cara untuk mengulangi kembali pengalaman anda pada masa lalu dan mengatur programming dalaman anda supaya anda dapat memperoleh hasil yang anda inginkan.

Perkataan

Kata-kata mudah mempunyai kuasa untuk mencetuskan tindakan anda. Dengar satu perkataan sahaja, otak anda akan bertindak.

Anda mungkin berfikir bahawa perkataan hanya menggambarkan makna tetapi sebenarnya perkataan mewujudkan realiti hidup anda.

NLP Adalah...

NLP boleh diterangkan dalam pelbagai cara. Definisi rasmi NLP adalah 'Kajian mengenai struktur pengalaman subjektif manusia'. Berikut adalah beberapa lagi cara menjawab soalan yang sukar difahami iaitu "Apakah NLP?":

  • Seni dan Sains Komunikasi
  • Kunci untuk belajar
  • Cara untuk memahami apa yang tabiat anda dan orang lain
  • Proses untuk mendapatkan hasil yang anda mahukan dalam semua bidang kehidupan anda
  • Cara untuk mempengaruhi orang lain dengan penuh integriti
  • Manual otak anda
  • Rahsia orang berjaya
  • Kaedah untuk mencipta masa depan
  • Cara untuk membantu manusia menjadi realistik
  • Kunci untuk mengubah individu atau organisasi

Sejarah NLP

NLP bermula di California pada awal 1970-an di University of Santa Cruz. Richard Bandler, seorang pelajar peringkat sarjana ilmu pengetahuan dan matematik dan Dr John Grinder, seorang profesor linguistik mengkaji orang yang mereka anggap dapat berkomunikasi dengan efektif dan orang yang dapat mengubah hidup orang lain dengan cemerlang.

Mereka terpesona oleh bagaimana sesetengah orang dapat membina hubungan dengan orang-orang tertentu dimana adalah mustahil bagi orang lain untuk membina hubungan dengan orang-orang tertentu ini.

NLP bermula dalam bidang terapeutik oleh psiko-terapi:

  1. Virginia Satir (Pengasas Terapi Keluarga)
  2. Fritz Perls (Pengasas Psikologi Gestalt)
  3. Milton H Erickson (memajukan bidang Hypnotherapy Klinikal)

Dalam proses pembangunan bidang NLP, terdapat beberapa tokoh yang berminat dengan kajian yang dilakukan oleh Bandler dan Grinder iaitu:

  1. Alfred Korzybski dan Noam Chomsky (Pakar Linguistik)
  2. Gregory Bateson (Pakar Antropologi Sosial)
  3. Paul Watzlawick (Psiko-terapi)

Pada peringkat awal, bidang NLP berkembang kerana merangkumi banyak bidang di seluruh dunia. Kemudian, pada tahun 1980-an, Grinder tidak berpuas hati dengan beberapa kerja pengekodan yang dilakukan dengan kerjasama Bandler yang kini dirujuk sebagai Kod Klasik dalam bidang NLP.

Grinder bersama Judith DeLozier memulakan beberapa model baru yang dikenali sebagai New Kod (didokumentasikan dalam bukunya Whispering in the Wind) dan dia melanjutkan kajianya dengan Carmen Bostic St.Clair pula.

Bidang NLP pada hari ini sudah jauh melangkaui sempadan Santa Cruz pada tahun 1970-an. Bidang NLP pada masa sekarang juga menarik minat semua peringkat umur pada masa sekarang.

Sekarang, sudah begitu ramai NLP Coach telah mengadakan program NLP Courses dan menjadikan NLP praktikal serta membantu mengubah kehidupan individu dalam kehidupan sebenar.

Teori dan aplikasi NLP adalah produktif dan dapat dipraktikkan oleh doktor dan jururawat, pemandu teksi, jurujual, jurulatih, akauntan, guru, jurulatih haiwan, ibu bapa, pekerja, orang yang bersara, dan juga pada golongan remaja.

Setiap generasi akan mengambil idea-idea yang praktikal dalam bidang masing-masing, menapis dan menjadikan idea lama menjadi lebih baik berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan sendiri.

Kebanyakan pembangunan NLP hari ini menumpukan kepadi aplikasi NLP dan bukannya model utama iaitu orang yang pakar dalam sesuatu bidang yang menjadikan NLP dan menjadi model dalam bidang mereka sendiri.

Setakat ini dahulu saya menulis. Saya akan kembali menyambung artikel Neuro Linguistic Programming pada masa akan datang. Sekian, terima kasih

Pensyarah tingkat kemahiran berkomunikasi

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan program Neuro Linguistic (NLP) kepada pensyarah institusi pendidikan di bawah kementerian itu, bagi melahirkan tenaga pengajar berkualiti dan bermotivasi tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata NLP yang banyak dilaksanakan di negara maju membantu melahirkan pensyarah yang mahir dalam berkomunikasi.

Beliau berkata, projek perintis itu disertai 100 pensyarah dan pegawai yang juga jurulatih NLP daripada kementerian, universiti awam, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (KKM), semalam.

Katanya, seminar sehari itu menggunakan Model Kecemerlangan Diri dikendalikan pakar pelatih NLP dari Indonesia, Melly Puspita Sari.

Melly Puspita adalah wanita tunggal yang ditauliahkan sebagai 'International Certified of NLP Master Trainer' dari National Federation of NLP (NFNLP) di Florida, Amerika Syarikat.

Idris berkata, Melly Puspita berpengalaman luas dalam pelaksanaan model kecemerlangan kepada pensyarah dan program motivasi ilmu keibubapaan di Indonesia.

"Seminar itu diadakan untuk perkongsian ilmu dan praktikal kepada semua peserta bagi mempelajari teknik kemahiran komunikasi secara berkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. BH Online - Mohammad Ishak (12 March 2018) Neuro Linguistic Programming (NLP)