Neuro Linguistic Programming (NLP) untuk Newbie

neuro linguistic programming (NLP)

Saya mula berminat mengenai NLP apabila membaca buku Anthony Robbin yang bertajuk "Unlimited Power" dan "Awaken The Giant Within".

Dalam artikel ini saya berkongsi dengan anda bagaimana NLP dapat menjadikan kehidupan anda dalam semua aspek menjadi lebih baik dari hari ini.

Ini termasuklah bagaimana anda berkomunikasi dengan orang lain, menggunakan 5 deria anda bagi memahami kehidupan anda dengan lebih baik, berfikir hasil dari sikap anda, mengubah tabiat bagi mencapai impian anda, dan berubah lebih cepat dengan menjadikan orang lain yang telah mendapat apa yang anda mahu dengan menjadikannya sebagai model.

Kemungkinan besar anda membaca artikel ini kerana anda pernah mendengar atau membaca mengenai neuro linguistic programming (NLP) yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian anda seperti di pejabat, kolej, dan kedai makan.

NLP terbukti dapat digunakan untuk mengubah kehidupan setiap orang yang benar-benar ingin berubah. Artikel ini ditulis untuk menerangkan faedah menggunakan NLP serta cara menggunakannya.

Sekarang, sudah tiba masanya untuk kaedah NLP berpindah dari dunia akademik dan perniagaan ke dalam hidup setiap orang.

Anda tidak perlu mengetahui tentang NLP terlebih dahulu, tetapi artikel ini adalah untuk anda sekiranya anda berada dalam mana-mana situasi berikut:

  • Anda sudah bosan dengan situasi hidup anda.
  • Anda ingin meningkatkan tahap pencapaian, kebahagiaan, cabaran, dan kejayaan anda.
  • Anda terdesak ingin membina hubungan dengan orang lain dengan cepat dan mudah.
  • Anda berminat untuk belajar dan menambah pengetahuan bagi meningkatkan kualiti kehidupan anda.
  • Anda ingin menjadikan impian anda menjadi realiti.




Apa itu NLP

Sejak kebelakangan ini dalam bidang perniagaan, NLP berkembang menjadi semakin popular. Sebahagian populariti adalah kerana teknik-teknik NLP menjelaskan sesuatu situasi dengan penjelasan yang rasional dan dapat digunakan oleh sesiapa sahaja.

Maksud NLP seperti berikut:

Neuro

Berkait dengan sistem neurologi yang juga dikenali dengan sistem saraf yang berhubung di seluruh badan anda dan menghantar isyarat elektrokimia dari 5 deria anda kepada otak.

Otak anda kemudiannya memproses maklumat yang diterima dan menghantar mesej kepada seluruh tubuh anda. Ini termasuklah membentuk emosi anda sama ada menjadikan anda gembira, bahagia, risau, atau sedih.

Linguistic

Cara anda mentafsir kehidupan anda:

  1. Menggunakan pengalaman anda dan membuat rumusan mengenai sesuatu situasi.
  2. Membentuk cara anda berkomunikasi dengan orang lain.

Programming

Program yang anda bina sendiri berdasarkan kepada pengalaman anda termasuk cara anda membuat keputusan, menyelesaikan masalah, belajar, menilai sesuatu, dan seterusnya membentuk tabiat anda.

Tabiat anda seterusnya menentukan tahap kehidupan anda dalam semua aspek kehidupan.


Sesetengah orang menggambarkan NLP sebagai 'kajian tentang struktur pengalaman subjektif'. Ada juga pendapat yang menyebutnya 'seni dan sains komunikasi'.

Berdasarkan situasi kehidupan pada hari ini, NLP membolehkan anda memahami apa yang membuat anda melakukan sesuatu secara terperinci, bagaimana anda berfikir, bagaimana perasaan anda terhasil, dan bagaimana anda memahami kehidupan seharian di dunia di sekeliling anda.

Dengan pemahaman ini, seluruh hidup anda - kerja dan kehidupan - boleh diperbaharui.

Skop artikel ini seperti berikut:

  • Mengetahui perkara yang penting bagi anda untuk mencapai matlamat anda dengan sepenuh tenaga dan keyakinan.
  • Membuat jangkaan dengan NLP berkaitan sesuatu situasi hidup anda.
  • Cara terbaik untuk memahami orang lain dan membantu anda untuk menyampaikan mesej.
  • Cara hendak membina hubungan dan masa untuk memutuskan hubungan.
  • Menggunakan minda separa sedar anda untuk bekerja bersama dengan minda sedar.

Seorang lelaki dikejar oleh harimau yang lapar. Oleh kerana dalam situasi terdesak, lelaki itu bertanya sambil menangis, "'Kenapa awak tidak tinggalkan saya?". Harimau bertanya kembali, "Kenapa awak tidak berhenti menaikkan selera saya?"

Dalam sebarang komunikasi antara dua orang, atau dalam kes ini antara manusia dan binatang, lebih dari satu perspektif sentiasa wujud.

Kadang-kadang orang hanya tidak dapat memahami mesej kerana mereka tidak tahu mengubah teknik berkomunikasi dengan cara yang membantu mereka mendapat apa yang mereka mahu.

Neuro linguistic programming (NLP) adalah salah satu metodologi yang paling canggih dan berkesan yang boleh membantu anda berkomunikasi dengan berkesan. Skop NLP adalah mengenai komunikasi dan perubahan sikap.

Semua manusia dilahirkan dengan sistem saraf asas yang sama. Sistem saraf anda menghantar maklumat yang anda terima daripada persekitaran anda melalui deria anda ke otak anda.

Persekitaran anda dalam konteks ini ialah semua bahagian luaran anda dan juga termasuk organ anda seperti mata, telinga, kulit, perut, dan paru-paru. Otak anda memproses maklumat dan menghantar mesej kembali ke organ anda.

Dengan mata anda, contohnya, hasilnya mungkin anda berkedip. Maklumat ini juga boleh mencipta emosi, dan anda mungkin merasa gembira, menangis, atau ketawa.

Secara mudahnya, ini menentukan cara anda bertindakbalas dengan sesuatu situasi dengan cara tertentu.

Keupayaan anda untuk melakukan apa sahaja dalam kehidupan - sama ada berenang di dalam kolam, memasak makanan, atau membaca artikel ini - bergantung kepada bagaimana anda bertindak balas kepada rangsangan pada sistem saraf anda.

Oleh itu, teknik NLP dikhaskan untuk mengenalpasti bagaimana untuk berfikir dan berkomunikasi dengan lebih berkesan sama ada dengan diri anda sendiri atau orang lain.


Teknik NLP





Berikut bagaimana neuro linguistic programming dibahagikan:

Neuro:

Berkaitan dengan sistem saraf anda. Idea NLP bermula dengan pengalaman anda dalam dunia ini dikesan melalui deria anda dan menterjemahkan maklumat yang diterima oleh 5 deria anda dalam proses pemikiran minda sedar dan minda separa sedar.

Proses berfikir mengaktifkan sistem neurologi yang mempengaruhi fisiologi, emosi, dan tingkah laku.

Linguistic:

Merujuk kepada cara anda menggunakan bahasa untuk memahami dunia, mendapat dan mengkategorikan pengalaman serta dan menyampaikan pengalaman itu kepada orang lain.

Dalam NLP, linguistik adalah kajian bagaimana kata-kata yang anda gunakan untuk bercakap dan body language anda mempengaruhi pengalaman anda.

Programming:

Menumpukan kepada persepsi anda dan membincangkan bagaimana anda bertindak atau corak mental anda berkaitan dengan pengalaman anda. Programming peribadi anda terdiri daripada proses dan strategi dalaman anda (corak pemikiran) yang anda gunakan untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, belajar, menilai, dan mendapatkan keputusan.

NLP memperlihatkan cara untuk mengulangi kembali pengalaman anda pada masa lalu dan mengatur programming dalaman anda supaya anda dapat memperoleh hasil yang anda inginkan.

Perkataan

Kata-kata mudah mempunyai kuasa untuk mencetuskan tindakan anda. Dengar satu perkataan sahaja, otak anda akan bertindak.






Anda mungkin berfikir bahawa perkataan hanya menggambarkan makna tetapi sebenarnya perkataan mewujudkan realiti hidup anda.

Maksud NLP

NLP boleh diterangkan dalam pelbagai cara. Definisi rasmi NLP adalah 'Kajian mengenai struktur pengalaman subjektif manusia'. Berikut adalah beberapa lagi cara menjawab soalan yang sukar difahami iaitu "Apakah NLP?":

  • Seni dan Sains Komunikasi
  • Kunci untuk belajar
  • Cara untuk memahami apa yang tabiat anda dan orang lain
  • Proses untuk mendapatkan hasil yang anda mahukan dalam semua bidang kehidupan anda
  • Cara untuk mempengaruhi orang lain dengan penuh integriti
  • Manual otak anda
  • Rahsia orang berjaya
  • Kaedah untuk mencipta masa depan
  • Cara untuk membantu manusia menjadi realistik
  • Kunci untuk mengubah individu atau organisasi

Sejarah NLP

NLP bermula di California pada awal 1970-an di University of Santa Cruz. Richard Bandler, seorang pelajar peringkat sarjana ilmu pengetahuan dan matematik dan Dr John Grinder, seorang profesor linguistik mengkaji orang yang mereka anggap dapat berkomunikasi dengan efektif dan orang yang dapat mengubah hidup orang lain dengan cemerlang.

Mereka terpesona oleh bagaimana sesetengah orang dapat membina hubungan dengan orang-orang tertentu dimana adalah mustahil bagi orang lain untuk membina hubungan dengan orang-orang tertentu ini.

NLP bermula dalam bidang terapeutik oleh psiko-terapi:

  1. Virginia Satir (Pengasas Terapi Keluarga)
  2. Fritz Perls (Pengasas Psikologi Gestalt)
  3. Milton H Erickson (memajukan bidang Hypnotherapy Klinikal)

Dalam proses pembangunan bidang NLP, terdapat beberapa tokoh yang berminat dengan kajian yang dilakukan oleh Bandler dan Grinder iaitu:

  1. Alfred Korzybski dan Noam Chomsky (Pakar Linguistik)
  2. Gregory Bateson (Pakar Antropologi Sosial)
  3. Paul Watzlawick (Psiko-terapi)

Pada peringkat awal, bidang NLP berkembang kerana merangkumi banyak bidang di seluruh dunia. Kemudian, pada tahun 1980-an, Grinder tidak berpuas hati dengan beberapa kerja pengekodan yang dilakukan dengan kerjasama Bandler yang kini dirujuk sebagai Kod Klasik dalam bidang NLP.

Grinder bersama Judith DeLozier memulakan beberapa model baru yang dikenali sebagai New Kod (didokumentasikan dalam bukunya Whispering in the Wind) dan dia melanjutkan kajianya dengan Carmen Bostic St.Clair pula.

Bidang NLP pada hari ini sudah jauh melangkaui sempadan Santa Cruz pada tahun 1970-an. Bidang NLP pada masa sekarang juga menarik minat semua peringkat umur pada masa sekarang.

Sekarang, sudah begitu ramai NLP Coach telah mengadakan program NLP Courses dan menjadikan NLP praktikal serta membantu mengubah kehidupan individu dalam kehidupan sebenar.

Teori dan aplikasi NLP adalah produktif dan dapat dipraktikkan oleh doktor dan jururawat, pemandu teksi, jurujual, jurulatih, akauntan, guru, jurulatih haiwan, ibu bapa, pekerja, orang yang bersara, dan juga pada golongan remaja.

Setiap generasi akan mengambil idea-idea yang praktikal dalam bidang masing-masing, menapis dan menjadikan idea lama menjadi lebih baik berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan sendiri.

Kebanyakan pembangunan NLP hari ini menumpukan kepada aplikasi NLP dan bukannya model utama iaitu orang yang pakar dalam sesuatu bidang yang menjadikan NLP dan menjadi model dalam bidang mereka sendiri.

NLP dan Integriti

Anda mungkin pernah mendengar perkataan integriti dan manipulasi dengan NLP. Sebelum saya menerangkan dengan lebih mendalam, saya terangkan terlebih dahulu persoalan berkaitan dengan memanipulasi orang lain menggunakan NLP. Sehingga hari ini, anda perlu sedar apa jua tindakan anda akan mempengaruhi orang lain walaupun tanpa menggunakan NLP.

Apabila anda menyedari apa yang anda inginkan, persoalan mengenai integriti akan timbul. Adakah anda pernah memanipulasi orang lain untuk mendapatkan apa yang anda inginkan?

Sekiranya anda dalam keadaan ingin menjual produk / servis anda, anda perlu bertanya kepada diri anda sendiri apakah perhatian positif anda kepada orang lain. Sekiranya produk / servis anda dapat memberi faedah kepada orang lain, anda memiliki integri - situasi menang-menang.

Sekiranya produk / servis anda tidak mengubah apa-apa, anda memanipulasi pelanggan anda. Apabila situasi menang-menang berlaku, anda berada dilandasan yang betul untuk menggunakan NLP.

Selain itu juga, integriti juga dikaitkan dengan walk by talk atau dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan secara mudahnya "bertindak selari dengan apa yang anda cakap".

Sekiranya tindakan anda selari dengan ucapan anda, anda seorang yang memiliki integriti yang tinggi.

4 Subjek Neuro Linguistic Programming

NLP meliputi empat perkara yang dikenali sebagai subjek NLP. Keempat-empat subjek ini boleh dihuraikan seperti berikut:

Membina Hubungan

Bagaimana anda membina hubungan dengan orang lain dan dengan diri anda sendiri mungkin merupakan pelajaran paling penting dengan menggunakan NLP kepada diri anda. Memandangkan kebanyakan manusia hidup dan bekerja, satu pelajaran besar dalam hubungan adalah bagaimana anda boleh mengatakan "Tidak" kepada permintaan orang lain dan dalam masa yang sama anda dapat mengekalkan hubungan persahabatan atau hubungan profesional.

Ketajaman Deria

Pernahkah anda perhatikan bagaimana warna, bunyi, dan bau yang berbeza di rumah orang lain berbeza dengan rumah anda?

Atau rakan anda kelihatan bimbang apabila dia bercakap tentang kerjanya.

Mungkin anda perhatikan perbezaan warna langit pada waktu malam atau warna daun dari pokok yang sama. Seperti detektif fiksyen terkenal Sherlock Holmes, anda mula menyedari bahawa dunia anda lebih bermakna apabila anda memberi perhatian kepada semua deria anda.

Hasil

Anda akan menemui banyak perkataan 'hasil' yang disebutkan di dalam artikel ini. Istilah ini menghubungkan untuk mula berfikir tentang apa yang anda mahu daripada terperangkap dalam cara berfikir negatif yang seterusnya membuatkan hidup anda lebih bermasalah.

Prinsip pendekatan yang memfokuskan kepada hasil dapat membantu anda membuat keputusan dan pilihan terbaik - sama ada itu mengenai apa yang akan anda lakukan pada hujung minggu, menjalankan projek penting di tempat kerja, atau mencari tahu tujuan sebenar hidup anda.

Sedia Berubah

Istilah ini bermakna mencari cara untuk melakukan sesuatu yang berbeza ketika apa yang sedang anda lakukan tidak mendatangkan hasil yang anda inginkan. Menjadi fleksibel adalah kunci untuk mengamalkan NLP.

Saya akan membantu anda melihat sesuatu perkara dari perspektif yang berbeza dan membina tabiat yang dapat menambah baik kehidupan anda.

Ini merupakan contoh keempat subjek NLP yang boleh berlaku dalam kehidupan seharian anda. Bayangkan anda membeli barangan secara online. Barangan yang anda beli tidak berfungsi seperti yang anda harapkan.

Kemudian anda berfikir mengenai wang yang telah anda gunakan. Anda mula menghubungi penjual mengenai masalah anda.

  1. Anda perlu menggunakan semua kemahiran anda untuk membina hubungan anda dengan penjual sebelum penjual mendengar masalah anda.
  2. Anda perlu menggunakan ketajaman deria anda untuk mendengar dengan teliti apa yang dikatakan oleh penjual dan mengawal perasaan anda untuk membuat keputusan.
  3. Anda perlu jelas jelas tentang hasil yang anda inginkan selepas anda menghubungi penjual tersebut. Sebagai contoh, anda mungkin ingin mendapatkan barangan baru atau wang anda dikembalikan.
  4. Akhir sekali, anda perlu sedia berubah sekiranya pilihan yang ada sekiranya hasil yang anda mahu tidak dapat dicapai buat kali yang pertama.

Bagaimana menggunakan NLP?

NLP bermula sebagai model bagaimana orang berkomunikasi dengan baik berdasarkan kepada tokoh-tokoh yang mahir melakukan publick speaking. Oleh itu, konsep model dan pemodelan adalah keutamaan untuk anda dapat menggunakan NLP.

Premis NLP bermula seperti berikut:

Sekiranya anda dapat mencari seseorang yang baik melakukan sesuatu perkara, anda boleh menjadikannya sebagai model bagaimana orang itu melakukan perkara itu dan belajar dari mereka.

Anda boleh mengetahui bagaimana untuk menjadikan sesiapa sahaja yang anda kagumi sebagai model anda - ahli perniagaan atau personaliti sukan, pelayan di restoran kegemaran anda, atau jurulatih kecergasan peribadi atau lain-lain.

Atau mungkin juga sebagai role-model atau idola anda.

Menggunakan model komunikasi NLP

Model NLP menerangkan bagaimana anda memproses maklumat yang diterima oleh 5 deria anda. Menurut NLP, anda hidup dalam dunia pada hari ini bukannya kerana anda bertindak balas dengan persekitaran anda tetapi dengan mengikut orang yang anda jadikan sebagai role-model dalam hidup anda walaupun anda tidak menyedarinya.

Siapa yang menjadi model anda untuk anda berjalan kaki?

Andaian asas NLP adalah bahawa 'peta bukan wilayah' dan setiap individu mempunyai model yang berbeza bagaimana dunia ini berfungsi. Andaian ini bermakna bahawa anda dan orang lain mungkin mengalami peristiwa yang sama tetapi melakukannya dengan cara yang berbeza.

"Peta bukan wilayah"

Bayangkan anda pergi ke suatu majlis - anda mempunyai masa yang baik, berjumpa dengan ramai orang yang ramah, menikmati makanan dan minuman yang baik, dan mungkin menonton hiburan.

Namun, jika pada keesokan harinya ada orang bertanya kepada anda dan orang lain untuk menceritakan apa yang berlaku, anda berdua mempunyai cerita yang berbeza untuk diberitahu. Perbezaannya adalah kerana maklumat yang diterima oleh 5 deria anda berbeza dengan orang lain walaupun mengalami situasi yang sama.

Atau bayangkan anda tiba-tiba berpindah ke tempat yang memiliki budaya yang berbeza dengan tempat anda. Fikiran dan andaian mengenai jiran-jiran baru anda menjalani hidup akan menjadi sangat berbeza dari anda sendiri.

NLP tidak mengubah dunia - ia hanya membantu anda mengubah cara anda berfikir dan memerhati kehidupan anda dengan lebih terperinci. NLP membolehkan anda membina peta yang berbeza atau lebih terperinci bagi membantu anda untuk menjadi lebih baik pada setiap hari.

Model Motivasi NLP

Model kecemerlangan adalah tema NLP dalam artikel ini kerana Neuro Linguistic Programming (NLP) adalah berorientasikan masa depan dan diterapkan untuk mewujudkan perubahan yang lebih baik - sama ada individu menjadi lebih baik, kualiti kehidupan yang lebih baik, atau dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Pendekatan NLP ialah anda belajar yang terbaik dengan mencari orang lain yang sudah cemerlang dalama apa-apa perkara yang anda ingin pelajari. Dengan menjadikan orang lain sebagai model, anda boleh menemui beberapa komponen untuk dijadikan model.

Perspektif ini menjadikan anda menjadi lebih baik dan memberi dorongan untuk melakukan perubahan-perubahan besar kepada bahagian-bahagian kecil serta membantu anda mencari orang-orang yang dapat anda jadikan sebagai model seterusnya menunjukkan jalan kepada anda untuk berubah.

Seperti yang anda temukan di seluruh artikel ini, aplikasi NLP yang praktikal adalah memberikan pelbagai pilihan kepada anda dan bukannya jatuh ke dalam perangkap yang dihadkan oleh pengalaman anda dan berkata, "Ini adalah cara saya melakukan sesuatu dan ini merupakan perkara yang mesti saya lakukan,".

Bagi mendapatkan manfaat NLP, anda perlu terbuka dan memberikan faedah kepada diri anda dan orang lain dengan mempersoalkan dan berfikir kembali mengenai kebiasaan-kebiasaan anda berfikir seterusnya mempengaruhi cara anda bertindak dengan cara yang dapat menjadikan anda menjadi lebih baik.

NLP Membentuk Tabiat

Pada asasnya NLP memantu anda membawa sikap positif tentang kehidupan dan kemungkinan daripada menimbulkan masalah dalam hidup anda. NLP juga menyediakan jawapan untuk soalan 'bagaimana' anda dapat mencapai apa yang anda mahu dengan mengubah cara anda berfikir dan bertindak dalam kehidupan anda yang tidak mencerminkan perkara yang anda mahu pada hari ini.

Begitu banyak lagi perkara yang mungkin dapat dicapai oleh anda apabila anda mempunyai minda dan sikap untuk menyokong kejayaan anda dengan mengeluarkan potensi semulajadi anda.

Sekiranya sikap anda tidak menyokong anda menjalani kehidupan yang bermanfaat setiap hari, anda mungkin ingin mengubahnya. Mengubah fikiran dan sikap anda benar-benar dapat mengubah hidup anda.

Ramai orang menghabiskan banyak masa melihat perkara negatif dalam kehidupan mereka seperti kebencian kepada pekerjaan mereka atau tidak mahu merokok atau mungkin menjadi gemuk.

Dengan menggunakan fisiologi anda untuk menumpukan perhatian kepada apa yang anda mahu, hasil positif dapat dicapai dengan cepat.

Berikut adalah dua perkara yang berguna untuk mengubah hidup anda:

  1. Rasa ingin tahu - menerima kenyataan bahawa anda tidak tahu semua jawapan bagi setiap persoalan
  2. Bersedia untuk menjadi keliru kerana seperti ungkapan ahli hipnoterapi hebat Milton H Erickson, "kematangan bermula dengan kekeliruan,".

Sekiranya anda mendapati idea-idea dalam artikel ini membuatkan anda berasa keliru, anda perlu berterima kasih kepada minda separa sedar kerana kekeliruan adalah langkah pertama untuk memahami.

Jadikan kekeliruan sebagai petunjuk bahawa anda sedang memproses maklumat bagi menjadikan hidup anda lebih baik dan minda separa sedar anda sedang bertindakbalas untuk mengubah minda sedar anda.

Sikap anda yang berulang-ulang dan persepsi yang sama boleh membuatkan anda berasa bosan dan tidak berkesan untuk mengubah hidup anda.

NLP pada hari ini adalah mengenai hasil yang ingin anda dapatkan serta dapat diukur bagi meningkatkan kualiti kehidupan anda dalam tempoh yang singkat dan membebaskan diri anda terperangkap dengan masa silam anda.

Semasa anda membaca artikel ini, anda dapat mengetahui bahawa NLP adalah untuk mencuba sesuatu yang baru, dan melupakan perkara yang tidak berkesan dalam hidup anda. Anda boleh menguji idea NLP dengan diri anda sendiri.

Tanggungjawab untuk mengubah hidup anda terletak pada diri anda sendiri. Sekiranya anda tidak bersedia untuk berubah, anda tidak akan mendapat manfaat daripada artikel ini.

Sekiranya anda tidak ingin berubah, kehidupan anda yang akan mengubah diri anda. Anda boleh memilih sama ada menanggung kesusahan untuk berubah atau menanggung kesusahan kerana tidak berubah.

Jika anda ingin menjadi manusia yang sempurna, anda meletakkan tekanan yang besar dan tidak realistik pada diri anda.

Anda tidak memerlukan idea terbaik yang terdapat dalam dunia ini untuk berubah. Anda hanya memerlukan idea yang sesuai dengan diri anda dan dapat anda praktikkan pada hari ini dalam kehidupan anda untuk menjadi lebih baik.

Secara umumnya, andaian NLP tidak lebih daripada hubungan anda dengan persekitaran anda yang boleh dibuktikan berguna kepada anda apabila anda bertindak seolah-olah ianya benar.

Dalam bahagian berikut, saya akan menerangkan beberapa andaian yang saya anggap sebagai paling berpengaruh daripada beberapa pengasas NLP.

Peta bukan Wilayah

Salah satu contoh yang pertama ialah 'peta bukan wilayah'. Kenyataan ini diterbitkan dalam Science and Sanity pada tahun 1993 oleh Korzybski, ahli matematik dari Poland.

Korzybski merujuk kepada fakta bahawa anda menjalani hidup melalui pancaindera (penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau, dan rasa) - wilayah. Anda kemudian mengambil fenomena luaran ini dan membuat representasi dalaman (IR) di dalam otak anda - peta.

Peta dalaman yang anda buat dicipta oleh pancaindera anda, yang dibentuk oleh pengalaman anda, tidak pernah menjadi replika tepat peta yang dibuat oleh orang lain yang melihat persekitaran yang sama seperti anda.

Dalam erti kata lain, perkara yang berlaku di luar tidak boleh sama dengan apa yang ada di dalam otak anda.

Jika anda bertanya kepada ahli botani tentang apa yang dimaksudkan oleh Belladonna, mereka boleh memberi nama Latin untuk tumbuhan dan menggambarkan bunga dan bau sedikit sambil membayangkan tumbuhan ini dalam kepala mereka.

Manakala ahli homopati mungkin menjelaskan penggunaannya dalam merawat gejala-gejala tertentu sambil membayangkan gambar seorang pesakit yang dirawatnya.

Jika anda meminta penulis novel misteri-pembunuhan tentang Belladonna, mereka mungkin mengatakan bahawa ia adalah racun.

Persepsi adalah bergantung kepada konteks dan latar belakang seseorang, orang yang berlainan membuat IR yang berbeza dengan perkara yang sama.

Membentuk persepsi melalui saringan peribadi anda sendiri

Deria anda memproses berjuta-juta bit maklumat yang berbeza setiap saat, namun minda sedar anda hanya boleh menyedari sebilangan maklumat pada setiap saat tertentu: sebagai akibatnya, banyak maklumat yang telah disaring terlebih dahulu.

Proses penapisan ini dipengaruhi oleh nilai dan keyakinan, kenangan, keputusan, pengalaman anda, dan latar belakang budaya dan sosial anda, untuk membolehkan hanya saringan yang anda tetapkan boleh diterima.

Apabila anda bersama orang lain, pilih sesuatu di persekitaran anda dan tulis setiap penerangan ringkas mengenai apa yang anda perhatikan: sebagai contoh, pandangan dari tetingkap.

Perhatikan bahawa penerangan orang lain secara individu disesuaikan dengan pengalaman hidup mereka sendiri.

Sesetengah orang Eropah dan Amerika Utara mengalami kejutan budaya apabila melawat negara-negara seperti India atau Mexico.

Oleh kerana latar belakang budaya mereka, mereka mungkin terkejut dengan tahap kemiskinan di beberapa kawasan manakala penduduk tempatan menerima kemiskinan sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Setiap orang membentuk zon selesa mereka sendiri.

Peta orang lain : Wilayah asing

Hasil saringan peribadi ini adalah semua orang mempunyai peta yang sangat berbeza di dunia.

Untuk memudahkan komunikasi, latihan yang sangat berguna adalah untuk sekurang-kurangnya cuba memahami IR atau peta orang yang berkomunikasi dengan anda.

Latihan ringkas berikut membantu anda menjadi lebih bertoleransi, atau sekurang-kurangnya mendapat sedikit pemahaman, apabila anda mendapati diri anda dalam situasi di mana tindak balas atau tingkah laku orang lain mengejutkan anda, menyusahkan anda, atau hanya membuat anda hairan:

  1. Kenal pasti semua kebaikkan yang pernah anda terima dari orang lain dalam hidup anda.
  2. Dengan contoh-contoh kebaikkan yang anda sendiri terima, bayangkan anda turut membuat kebaikkan yang sama kepada orang lain.
  3. Tanya diri anda sendiri apa yang berlaku pada kehidupan orang lain yang membuat kebaikkan yang sama kepada anda.

Apabila anda mula menguasai proses ini, anda mungkin mendapati bahawa anda bukan sahaja menjadi lebih bahagia tetapi juga anda lebih terbuka dan bergaul dengan orang lain dengan lebih mudah.

Peta kehidupan kanak-kanak

Peta kanak-kanak di dunia kadang-kadang boleh membuat orang dewasa berfikir kembali. Kebenaran ini digambarkan secara rapi oleh cerita berikut.

Seorang anggota polis sedang duduk di dalam van polisnya dengan seekor anjing mendapati seorang kanak-kanak lelaki sedang memandangnya.

Kemudian, kanak-kanak itu bertanya apakah terdapat anjing di dalam van.

Polis menjawab bahawa penumpang van yang lain memang seekor anjing.

Anak lelaki itu sangat terkejut dan bertanya, "Apa yang dia lakukan sehingga ditangkap?"

Hala tuju manusia mengikut peta masing-masing

Seperti mana semua manusia, anda bertindakbalas mengikut peta yang anda bina. Peta ini merupakan kepercayaan anda mengenai diri anda dan juga nilai anda. Ia seterusnya membentuk sikap, memori, dan latar belakang anda.

Terdapat juga peta orang lain tidak menarik minat anda. Bagaimanapun, dengan cuba memahami dan bertolak ansur dengan peta orang lain dapat membuatkan hidup anda lebih baik.

Contohnya situasi di sebuah hospital sakit jiwa.

Terdapat seorang pesakit yang petah bercakap dan merupakan bekas professor di sebuah universiti. Apabila berjalan di waktu malam, dia akan menggunakan payung bagi mengelakkan terkena cahaya bulan. Menurutnya, cahaya bulan akan membuat orang menjadi gila.

Walaupun demikian, dia tidak lokek dengan ilmu yang dimilikinya dan sering berkongsi dengan kakitangan hospital dimana dapat menambah pengetahuan kakitangan hospital yang sering berinteraksi dengan beliau.

Sekiranya kakitangan tidak bertoleransi dengan "professor gila" itu, mereka tidak akan menyedari bagaimana kehidupan mereka menjadi lebih baik dengan pengetahuan yang diperolehi. Oleh sebab itu, kakitangan hospital memberikannya gelaran "pesakit yang tidak sakit" kepada professor berkenaan.

Kejayan dan Kegagalan: Hasil Tindakan Anda

Persepsi anda sangat berkuasa untuk mempengaruhi hidup anda. Semua orang membuat kesilapan dan mengalami kesusahan.

Anda mempunyai pilihan antara membenarkan diri anda dibentuk melalui hasil yang tidak diingini oleh anda atau mengambil pelajaran yang menunjukkan diri anda, menyalahkan diri sendiri, dan mencari jalan untuk mengatasi halangan yang wujud.

Elakkan membuang masa berharap hidup anda akan berubah dengan sendiri.

Anda tidak pernah gagal. Anda hanya tidak mendapat apa yang anda mahu hasil tindakan yang anda lakukan.

Apabila anda mengubah cara anda berfikir, anda dapat mengubah tindakan yang anda ambil dan hasil dari tindakan anda akan mengubah kehidupan anda.

Sekiranya anda kecewa kerana gagal, anda perlu sedar bahawa kegagalan merupakan hasil yang tidak anda jangka.

Takut pada kegagalan akan membuatkan anda untuk terus fokus pada masa lalu dan masalah yang wujud dalam hidup anda.

Sekiranya anda menilai kembali apa yang berlaku dalam hidup anda, walaupun anda tidak menyukainya, anda dapat mengubah fokus anda untuk mencari penyelesaian.

Menggunakan NLP Untuk Mencari Peluang

Apabila anda mengalami "kegagalan", anda boleh menggunakan NLP untuk mencari peluang yang ada untuk terus mengeluarkan potensi anda dengan bertanya beberapa soalan kepada diri anda sendiri.

Renungkan "kegagalan" anda dan tanya kepada diri anda sendiri:

  1. Apakah matlamat saya yang perlu dicapai?
  2. Apakah hasil yang telah saya dapat?
  3. Apakah hasil tindakan saya?
  4. Apakah pelajaran yang diperolehi?
  5. Bolehkah hasil yang diperolehi dapat digunakan secara positif?
  6. Bagaimana untuk mengukur kejayaan saya?

Kemudian, anda boleh menemui jalan untuk mencapai matlamat anda. Anda tidak perlu mengubah matlamat anda. Anda hanya perlu mengubah tindakan anda.

Boleh anda bayangkan apa yang terjadi sekiranya anda berputus asa untuk belajar berjalan pada masa lalu?

Bagaimana agaknya situasi di dunia ini sekiranya hanya beberapa orang yang tahu berjalan?

Teknik Komunikasi NLP

Tanpa mengira sejauh mana kejujuran anda ketika berkomunikasi, kejayaan anda berkomunikasi bergantung sepenuhnya kepada "bagaimana orang lain menerima mesej yang andai sampaikan," dan bukannya "apa yang ingin anda sampaikan,".

Apabila anda memahami NLP, sukar untuk anda menyalahkan orang lain sekiranya berlaku salah faham ketika anda berinteraksi dengan orang lain.

Teknik komunikasi NLP membantu anda untuk mengesan poin yang tidak difahami oleh orang lain ketika anda berinteraksi dengan mereka.

Anda juga menjadi lebih fleksibel dengan NLP kerana anda lebih bersedia untuk menukar cara anda berkomunikasi atau mengubah tindakan yang perlu anda lakukan.

Teknik NLP dalam komunikasi bermula dengan membuat keputusan apa hasil yang anda ingin dapatkan sebelum berkomunikasi dengan orang lain.

Anda perlu bersedia sekiranya hasil komunikasi yang anda lakukan tidak berhasil seperti yang anda harapkan.

Sekiranya apa yang anda lakukan tidak berhasil, lakukan sesuatu yang berbeza

Walaupun kedengaran agak mudah dilakukan, anda mungkin tidak bersedia untuk mengubah tabiat anda sekiranya hasil yang anda harapkan tidak seperti yang anda jangka.

Anda perlu sedar tidak semua orang memiliki sumber yang diperlukan untuk mendapat apa yang diinginkan.

Anda mungkin membaca artikel ini untuk mengubah hidup anda sendiri. Anda hanya boleh mengubah hidup anda dengan NLP sekiranya anda benar-benar mahu berubah.

Teknik NLP membantuk anda mengubah taktik anda menjadi lebih baik dari terus membuatkan anda berhenti kerana masalah yang timbul hasil dari tindakan yang anda ambil.

Ini lebih baik daripada terus menyalahkan orang lain atau mengalah.

Anda hanya perlu menjadi realistik dengan keadaan hidup anda pada masa ini. Tiada apa yang akan berubah sekiranya anda tidak tahu dimana untuk bermula.

Anda perlu menilai kembali tindakan yang telah anda lakukan untuk mencapai apa yang anda mahu.

Kenal pasti tindakan yang perlu anda lakukan pada masa yang sesuai di tempat yang tepat.

Sekiranya anda tidak tahu apa yang perlu anda lakukan, anda boleh menulis senarai tindakan yang tidak perlu anda lakukan untuk mendapat apa yang anda mahu.

Anda tidak boleh mengelak untuk berkomunikasi

Apa yang anda katakan hanya memberi pengaruh yang kecil dalam kejayaan anda berkomunikasi dengan orang lain.

Faktor yang mempengaruhi kejayaan komunikasi seperti berikut:

  1. Verbal (Perkataan yang anda gunakan): 7%
  2. Ton suara (Cara anda menyampaikan mesej): 38%
  3. Fisiologi (Body language): 55%

Memiliki pilihan adalah lebih baik dari tidak memiliki pilihan

NLP membantu anda membuat pilihan sebagai pilihan sebagai panduan dalam hidup anda.

Kadang-kadang anda mungkin merasa tidak mempunyai pilihan dalam hidup anda seperti bertukar kerja, berhijrah ke tempat lain, atau keluar dari perhubungan yang tidak membahagiakan anda.

Keadaan ini berlaku kerana anda mempunyai corak berfikir bahawa anda "tidak mempunyai pilihan lain," atau "anda mesti meneruskan apa yang sedang berlaku,".

Anda mungkin terhalang untuk mengubah apa yang berlaku seperti memiliki rasa takut untuk berubah, tidak yakin dengan kemampuan anda, atau masih tidak mengetahui potensi anda.

Apa yang berlaku sekiranya anda berubah?

NLP membantu anda untuk berfikir dalam konteks yang lebih luas mengenai kehidupan anda dengan membuatkan anda menyedari dan mengeluarkan sepenuhnya potensi anda.

Ini kerana NLP membantu anda mengenal pasti apa yang anda benar-benar mahu dalam hidup dan sebab anda ingin mengubah kehidupan anda-walaupun mungkin sebab yang kecil.

Ini menjadikan anda dapat mengawal seluruh hidup anda.

Teknik NLP Setiap Hari

Sekiranya anda mengubah tabiat anda, anda akan dapat mengubah seluruh hidup anda. Oleh kerana mengubah tabiat adalah sukar untuk konsisten, anda perlu melakukan sesuatu yang baru setiap hari yang kurang dari 2 minit tabiat yang positif.

Sebagai permulaan, saya cadangkan setiap hari anda:

  1. Mengemaskan tempat tidur setiap kali bangun tidur. Anda tidak perlu risau sepanjang hari kerana tempat tidur anda sudah kemas.
  2. Buat senarai setiap pagi - dalam masa 90 minit selepas bangun tidur - 3 cara anda dapat mengubah hidup anda. Selepas 10 hari, anda mempunyai 30 idea.
  3. Menggosok gigi dengan kedua-dua belah tangan untuk menguatkan otak anda.

Setakat ini dahulu saya menulis. Saya akan kembali menyambung artikel Neuro Linguistic Programming (NLP) pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.


Audio hipnosis menarik kekayaan dan rezeki